fb fb fb fb fb

Individu hina Nabi Muhammad : PDRM, JAWI buka kertas siasatan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 22 November- Semua pihak perlu berhati-hati ketika menyampaikan ucapan terutamanya dalam perkara berkaitan kemuliaan Nabi Muhammad SAW yang boleh menimbulkan kontroversi.

Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar menjelaskan, ini susulan tindakan seorang individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad pada sebuah konvensyen baru-baru ini.

Tambahnya, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung perkara tersebut.

Justeru, pihaknya meminta orang ramai untuk bertenang dan menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

Dalam pada itu, pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut membuat siasatan mengikut Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1997 kepada individu tersebut.

Terdahulu, tular hantaran di Facebook menyatakan ucapan yang diberikan seorang individu yang kononnya berunsur ‘sunnah’ tetapi penuh dengan sindiran biadab serta menjadikan Nabi serta isteri baginda sebagai bahan lawak hambar yang tidak beradab.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE