fb fb fb fb fb

Individu bekerja sendiri digesa carum SKSPS

(Mereka yang bekerja sendiri termasuk petani, nelayan, peniaga dan penjaja di Melaka digesa mencarum di bawah SKSPS/ Foto Hiasan)

MELAKA, 16 Mac- Hanya 8,600 pekerja sendiri di Melaka yang mencarum dan berdaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

Pengarah PERKESO Melaka, Abd Razak Omar berkata jumlah itu masih kecil berbanding jumlah sebenar pekerja sendiri di negeri itu termasuk penjaja kecil, nelayan dan petani .

"Jadi angka ini kecil sangat kecil dan kerana itu saya menggesa supaya mereka bekerja sendiri ini sama ada peniaga, penjaja, nelayan tampil untuk membuat pendaftaran kepada PERKESO supaya mereka sama-sama akan dapat perlindungan di bawah skim keselamatan sosial." katanya.

Melalui skim ini katanya lapan faedah bakal diterima pencarum antaranya Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal dan Faedah Orang Tanggungan.


(Pengarah PERKESO Melaka, Abd Razak Omar)

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada Chong Lai Ling, 54, balu kepada orang berinsurans (OB), mendiang Cheah Chong Leng dalam kunjungan skuad Prihatin PERKESO di Kampung Tujuh, Gajah Berang.

Mendiang Cheah, 51, yang bekerja sebagai pengayuh beca sejak 2018 terlibat dalam kemalangan pada 8 Disember lepas ketika perjalanan dari rumah ke tempat simpanan beca dan meninggal dunia semasa rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Waris iaitu balu dan anak kepada OB layak menerima faedah orang tanggungan berjumlah RM945 sebulan serta faedah pengurusan mayat yang dibayar secara sekali beri berjumlah RM2,000.

Dalam pada itu Abd Razak berkata Perkeso Melaka telah melunaskan tuntutan pelbagai faedah kepada 19,030 pekerja dengan bayaran lebih RM29.9 juta pada tahun lepas.

Katanya sehingga Februari lalu Perkeso telah membayar lebih RM4.79 juta kepada 1,452 pekerja membabitkan faedah seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen faedah orang tanggungan, pencen ilat, pencen penakat dan faedah pengurusan mayat.

Media Baharu