Indeks Rasuah ranking ke-54: Perang rasuah perlu digandakan, tiada siapa kebal undang-undang

Berdasarkan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, Malaysia melonjak tiga anak tangga, berada di tangga ke-54 berbanding tangga ke-57 pada tahun 2024.

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak ke tangga ke-54, mencerminkan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam memerangi rasuah secara sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan perlu menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani.
  • Tindakan penguatkuasaan bersepadu memulihkan hasil negara lebih RM15.5 bilion melalui rampasan dan pembanterasan sindiket.
  • Kerajaan menegaskan tiada siapa kebal daripada undang-undang termasuk institusi strategik dan sektor pertahanan.

Menurut beliau pencapaian itu bagaimanapun harus menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani.

Katanya, usaha itu juga demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan.

“Peningkatan kedudukan CPI itu didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Hasil tindakan penguatkuasaan bersepadu itu, kerajaan berjaya memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana serta pembanterasan sindiket rasuah dan ketirisan yang sekian lama menjejaskan kewangan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi apabila integriti institusi strategik dipersoalkan, termasuk dalam sektor pertahanan.

“Tindakan tegas terhadap salah laku dan penyelewengan, di samping pembongkaran kartel serta kes rasuah berprofil tinggi, menegaskan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang,” katanya.

Berdasarkan CPI 2025 yang dikeluarkan Transparency International (TI) hari ini, Malaysia melonjak tiga anak tangga dalam Indeks CPI 2025 apabila berada di tangga ke-54 berbanding tangga ke-57 pada tahun 2024.

Peningkatan itu juga menjadikan Malaysia berada di tangga ketiga dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Brunei.