fb fb fb fb fb

Indah Water memeterai MOU dengan ASCI di Singapura

Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 Jun- Syarikat Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) memeterai satu memorandum persefahaman (MOU) dengan Kolej Pegawai Pentadbiran India (ASCI) mengenai perkongsian pengalaman dalam pemulihan perniagaan IWK, inovasi teknologi pengurusan air sisa dan pembetungan serta pembinaan kapasiti yang mempunyai kepentingan bersama.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan memaklumkan, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengetuai delegasi menghadiri forum itu bagi menunjukkan komitmen kementerian meneroka kerjasama baharu dalam sektor pengurusan air di rantau ini.

Majlis penandatanganan MOU oleh wakil dari kedua-dua pihak itu juga disaksikan Akmal Nasrullah pada Minggu Air Antarabangsa Singapura 2024 (SIWW) yang berlangsung 18 hingga 19 Jun lepas di Marina Bay Sands Expo and Convention Centre, Singapura.

SIWW adalah acara dwitahunan dan ia adalah platform yang mengumpulkan pemegang taruh daripada sektor kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan orang awam daripada pelbagai negara untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam sektor air.

Pada tahun ini, SIWW 2024 merupakan kali ke-10 dan ia diadakan bersekali dengan Cleanenviro Summit Singapore (CESG) 2024.

Akmal Nasrullah turut berkesempatan melihat kejayaan Singapura menguruskan air sisa dan kumbahan serta penggunaan semula air sisa dalam lawatan ke Loji Pulih Guna Air Sisa (WRP) dan Loji NEWater di Changi, Singapura.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI