fb fb fb fb fb

INCUBE, bantu perkukuh kerjasama dalam pasukan - INTAN

Foto INTURA

SUNGAI PETANI, 13 Oktober- Seramai 18 kakitangan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menyerlahkan potensi kepimpinan melalui Program Pengukuhan Pasukan INTAN Bersama Media 2024 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA).

Program yang disertai penyampai radio, wartawan dan penerbit rancangan selama tiga hari dua malam itu, diadakan sempena sambutan ulang tahun INTAN ke-65 .

Perunding Latihan Kanan Unit Pengukuhan Pasukan INTURA, Ramzi Akmal Hassan berkata pihaknya menyediakan fasilitator yang terlatih dari dalam dan luar negara termasuk Jepun.

Selain itu, memanfaatkan kemudahan disediakan di INTAN Leadership Development Park (iLEAD Park) dan INTAN Challenge Cube (INCUBE).

"INCUBE atau INTAN Challenge CUBE adalah satu fasiliti pembangunan pasukan atau pengukuhan pasukan untuk membentuk sesebuah pasukan melalui elemen dan aktiviti."

"Terdapat empat elemen dalam INCUBE yang pertama via ferrata tangle duo dan ada abseiling dan seterusnya kita ada 'daze maze'. INCUBE ini satu-satunya yang terdapat di Malaysia, iaitu di INTURA," kata Ramzi kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata peserta juga di bawa ke Pengkalan Hulu, Perak untuk aktiviti meneroka Gua Gendang yang menjadi acara kemuncak bagi kursus pengukuhan pasukan.

Kira-kira 40 siri kursus disasarkan setiap tahun dengan penyertaan dari seluruh negara berbanding tertumpu hanya penjawat awam di utara, sebelum ini.

"Banyak yang kita dapat terutama keyakinan diri untuk penyampai radio, serta warga kerja penyiaran yang lain. Kedua, kerjasama dan semangat berpasukan untuk kita adaptasi dalam pekerjaan kita," kata Nur Ain Sulong, penyampai radio TerengganuFM.

Saya sangat teruja apabila menyertai kursus seperti ini. Kita hadir kursus yang ada aktiviti ini, berbeza. Jadi, ia adalah satu pengalaman baharu, tidak pernah saya rasakan sebelum ini. Kalau nak rasai pengalaman tersebut, jom datang ke INTURA," kata Muhammad Zulfaiz Mat Azlan, penyampai NasionalFM.

"Pertamanya, bagaimana kita nak menjadi seorang pemimpin dalam sesebuah pasukan. Kita juga diajar kemahiran ikhtiar hidup (survival skills) serta kemahiran lain yang boleh kita guna untuk menghadapi cabaran-cabaran harian dalam pekerjaan," kata Yassin Kassim, Penerbit Rancangan NegeriFM.

Selain penjawat awam biasa, INTURA juga menerima banyak permohonan daripada badan beruniform seperti Polis Diraja Malysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), yang mahukan perkhidmatan latihan selain daripada kaedah rejimental.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM