fb fb fb fb fb

Imigresen tahan 33 warga asing pekerja kilang proses sisa elektronik haram di Klang

FOTO JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

PUTRAJAYA, 18 Mei- Seramai 33 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM )dalam operasi penguatkuasaan di sebuah premis kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Klang, Selangor pada 16 Mei lepas.

Ketua Pengarah JIM Datuk Ruslin Jusoh menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan operasi dijalankan berdasarkan aduan awam berkaitan kilang yang disyaki beroperasi secara haram dan menggajikan warga asing dengan kemungkinan terdapatnya elemen eksploitasi pemerdagangan orang

"Modus operandi kilang adalah memproses sisa elektronik melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga.

"Berdasarkan invois yang ditemui, sisa sisa elektronik yang diterima hanya dalam jumlah kapasiti tertentu yang akan dipastikan boleh diproses dan disiapkan dalam tempoh seminggu kerana proses tersebut hanya boleh diselia oleh pekerja warga China yang berkemahiran," katanya.

Menurut Ruslin, bagi mengaburi aktiviti itu warga China berkenaan akan beralih ke kilang lain yang menjalankan aktiviti sama sebelum keluar meninggalkan negara ini.

Hasil keuntungan dipercayai boleh mencecah sekitar RM300,000 hingga RM500,000 setelah barangan siap dikitar semula.

Berdasarkan risikan dan maklumat yang diperoleh daripada warga asing yang ditahan, disyaki syarikat yang menjalankan kitar semula sisa elektronik itu didaftarkan kepada warganegara Malaysia tetapi diuruskan secara proksi oleh warga China.

"JIM akan meneruskan usaha mengesan pemilik kilang berdasarkan nombor pasport yang diperoleh termasuk pemilik lot tanah tersebut.

"Kes disiasat bawah Akta Imigresen, Akta Pasport termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)," kata Ruslin.

Daripada 33 warga asing yang ditahan, 27 lelaki merupakan warga Myanmar, China (dua lelaki), Kemboja (dua lelaki) dan masing-masing seorang wanita dari Kemboja dan Myanmar dan berusia antara 19 hingga 40.

Kesemua mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, bekerja dan tinggal di ruang kilang yang dijadikan asrama sejak empat bulan lepas dan dipercayai dikurung oleh pengusaha kilang yang disyaki warga China.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE