BUKIT MERTAJAM, 19 Februari- Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang memeriksa 130 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah kilang menjahit dan menjual pakaian di Alma, Bukit Mertajam menerusi Ops Mahir.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, dalam operasi tersebut pihaknya telah memeriksa seramai 61 lelaki dan 69 wanita warganegara asing.
Katanya, antara yang diperiksa terdiri daripada 78 warga Myanmar, 27 warga Bangladesh serta selebihnya lain-lain warganegara berumur antara 20 hingga 40 tahun.
Operasi berkenaan dijalankan berdasarkan aduan orang awam dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan dalam memastikan aktiviti ini dapat dibanteras.
Hasil daripada operasi tersebut, seramai 12 PATI ditahan terdiri daripada lima lelaki dan tujuh wanita ditahan kerana tinggal lebih masa dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Depoh Imigresen Juru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).