PUTRAJAYA, 13 Mei - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan ujian penggunaan kod QR bagi tujuan melancarkan proses pergerakan di pintu masuk negara.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh, fasa pengujian kod QR di beberapa lokasi pintu masuk utama negara akan diumumkan oleh KDN dalam masa terdekat.
"Ini antara komitmen Imigresen dan KDN untuk menangani kesesakan di pintu masuk utama negara, inisiatif ini berterusan dari peringkat KDN dan pelaksanaanya adalah Imigresen, bukan sahaja di Johor Bahru (Johor), malah di pintu masuk lain termasuk udara", katanya pada sidang media di sini.
Jelas Ruslin, kesesakan di Tambak Johor adalah paling sesak terutama apabila musim cuti panjang.
Justeru, pihaknya memandang perkara berkenaan sebagai keutamaan dalam mencari kaedah terbaik menangani kesesakan serta proses mempercepatkan akses tanpa kompromi terhadap aspek keselamatan.
Sementara itu, Datuk Ruslin Jusoh memaklumkan pihaknya berjaya menumpaskan Sindiket 'Ofu Bhai' dalam operasi di sebuah rumah di kajang, Selangor pada 10 Mei lalu.
Ujarnya, sindiket tersebut aktif menjalankan kegiatan pemalsuan dan pengubahsuaian passport tulen sejak dua tahun lalu.
Seorang lelaki warga Bangladesh berumur 38 tahun dikenali sebagai ' Ofu Bhai' turut ditahan bersama wanita warga Filipina berusia 40 tahun dalam operasi berkenaan
"Modus operandi sindiket ini adalah yang pertama menawarkan perkhidmatan kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah. Mereka menggunakan tamat tarikh sah pasport menggunakan pasport tulen tersebut serta meminda maklumat pada pasport tersebut dan membuat helaian yang baharu", kata Ruslin.
Sindiket berkenaan juga menawarkan perkhidmatan meminda pasport tulen yang telah tamat tempoh bagi mengelirukan pihak berkuasa dengan harga sekitar RM1,000 hingga RM500 bagi setiap satu passport.
Hasil emeriksaan itu turut menjumpai satu set komputer, 211 pasport terdiri daripada pasport Bangladesh, Filipina, Myanmar dan Indonesia selain wang tunai sebanyak RM16,000.