fb fb fb fb fb

Imigresen diarah siasat dakwaan pegawainya ditengking di KLIA - Hamzah

(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin
hadir pada Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri malam tadi/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Jabatan Imigresen telah diarah menyiasat dakwaan pegawainya ditengking dan diherdik oleh seorang pegawai tinggi kerajaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata beliau telah memanggil Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan memintanya menjalankan siasatan berhubung perkara itu supaya mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar.

“Walaupun benda telah tular tapi kita kena dapatkan berita yang jelas, saya tidak mahu ia dijadikan sesuatu yang mungkin boleh merosakkan imej sesiapa.

“Punca saya tidak tahu, tapi berita (insiden pegawai imigresen ditengking) telah sampai pada saya. Oleh itu, saya minta dia siasat dengan lebih mendalam supaya dapat berita lebih jelas apa yang berlaku,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kementerian Dalam Negeri malam tadi.

(Hamzah Zainudin)

Beliau meminta semua pihak bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

“Kita tidak boleh lari daripada isu macam ini kerana video semua telah ada. Kalau betul ia berlaku, saya akan jelaskan nanti,” katanya.

Terdahulu, dalam insiden pada 8.40 hingga 9.40 pagi semalam, seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.-BERNAMA

Media Baharu