KUALA LUMPUR, 27 Februari – Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) tertua di negara ini, menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi Huawei bagi mengaplikasikan teknologi 5G dalam latihan kemahiran.
Kerjasama itu dimeterai susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China November lalu, yang membawa kepada penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Huawei Malaysia dalam tempoh kurang sebulan selepas kepulangannya.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata dalam tempoh kurang dua bulan, Huawei Learning Centre berjaya dilancarkan di ILP Kuala Lumpur hasil kerjasama dengan Jabatan Tenaga Manusia.
“Kursus pertama yang ditawarkan ialah modul Microwave. Seorang pelatih berkongsi bahawa sebelum ini pemasangan peralatan Microwave mengambil masa empat hari, tetapi selepas mengikuti kursus ini, tempoh tersebut berjaya dikurangkan kepada hanya tiga jam.
"Ini bermakna kecekapan meningkat, produktiviti bertambah dan secara tidak langsung pendapatan juga boleh meningkat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pusat Pembelajaran TVET JTM-Huawei di Auditorium Peru Mohamed, ILP Kuala Lumpur, di Jalan Kuchai Lama, di sini.
Selain itu, Steven turut mengumumkan kerjasama dengan Huawei untuk membangunkan kampus pintar TVET pertama di Johor, yang dijangka siap selepas pertengahan tahun ini.
“Kampus ini akan dilengkapi dengan teknologi 5G, digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan latihan kemahiran yang lebih moden dan relevan dengan keperluan industri,” tambahnya.