KUALA LUMPUR, 9 Mac- Penekanan terhadap seni mempertahankan diri dapat membantu memperkasakan wanita, khususnya dalam mempertingkatkan tahap kewaspadaan untuk menghadapi sebarang situasi yang berhubungkait dengan keselamatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata golongan wanita perlu diberi pendedahan dan keyakinan untuk tampil lebih sihat, aktif selain mempelajari seni mempertahankan diri, bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa gangguan seksual.
"Kita bukan bercakap mengenai Hari Wanita sahaja, tetapi perkara yang berkaitan dengan wanita itu adalah penting untuk kita bantu. Kita bercakap mengenai ekonomi, keselamatan, ekonomi dan juga kepimpinan wanita pada hari ini lebih kepada keselamatan."
"Kita ada tribunal juga untuk membantu mereka yang memerlukan nasihat dan juga tindakan selanjutnya. Jadi, inilah program kita bersama dengan wanita," kata Nancy kepada pemberita pada program Fit With Rapid KL 2.0 di stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Batu, Kuala Lumpur bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
Beliau juga berharap semua pihak berganding bahu menyebar serta memperluas kempen Antigangguan Seksual (AGS) di seluruh negara.