fb fb fb fb fb

IKIM sokong misi PM, bawa draf cadangan resolusi pengusiran Israel di PBB 

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil

KUALA LUMPUR, 8 November- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menyokong penuh keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa draf resolusi di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan penggantungan atau pengusiran Israel.

Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Datuk Dr. Mohamad Azam Mohamed Adil menerusi satu kenyataan menjelaskan, sokongan itu menegaskan komitmen Malaysia terhadap prinsip keadilan sosial dan kemanusiaan sejagat khususnya isu Palestin.

"Tindakan itu bagi memastikan hak-hak rakyat Palestin terus terbela, di samping menyokong peranan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menyediakan bantuan asas terus terpelihara walaupun serba kekurangan.

"Dengan usaha ini, Malaysia berharap agar Israel dipertanggungjawabkan dan tindakan yang lebih tegas dapat diambil badan tertinggi dunia itu menggantung atau mengusir negara yang melanggar prinsip pertubuhan secara berterusan," jelasnya menerusi kenyataan itu.

Keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh Israel telah melangkaui wilayah Palestin hingga ke kawasan selatan Lubnan. Ia sekali gus dilihat memburukkan lagi krisis kemanusiaan di rantau tersebut. 

Tindakan Malaysia mengharamkan kapal-kapal milik syarikat perkapalan Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara sebelum ini merupakan satu langkah simbolik yang kuat.

Ia menunjukkan Malaysia terus berusaha untuk memimpin solidariti global dan menyeru komuniti antarabangsa untuk bersama-sama menentang kezaliman, serta berusaha ke arah kedamaian yang mampan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI