ALOR SETAR, 14 Disember - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) sedia membantu usahawan kecil dan sederhana di negeri terjejas banjir.
Pengerusi IKHLAS Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya sedia memberi khidmat nasihat bagi memudah cara memastikan usahawan terjejas mendapat bantuan sewajarnya.
Katanya selain usahawan, pihaknya turut menjalankan tanggungjawab membantu penduduk terjejas banjir di Kedah.
"Jentera kita pun turun padang bantu bersihkan sekolah rumah dan sebagainya kita pernah buat di negeri Pahang dan Terengganu sebelum ini. Jadi saya harap badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu kawasan Anak Bukit, kawasam ini memang perlu sangat bantuan saya harap NGO boleh membantulah," kata Ridzuan.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan menerusi Misi Bantuan Pasca Banjir IKHLAS .
Tumpuan diberikan di kawasan Anak Bukit berikutan kawasan tersebut paling teruk terjejas kerana terletak di lembangan sungai Anak Bukit.