KUALA LUMPUR, 5 Jun - Institut Jantung Negara (IJN) mencipta sejarah baharu apabila menjadi pusat perubatan pertama di Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan implan perentak jantung dwiruang tanpa wayar pertama di dunia, dikenali sebagai Abbott AVEIR™ DR.
Perentak jantung inovatif ini telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada Jun 2023 dan direka khusus bagi merawat pesakit yang mengalami degupan jantung perlahan atau tidak teratur.
Menurut Pakar Perunding Kanan dan Pengarah Klinikal - Intervensi Elektrofisiologi dan Peranti Boleh Diimplan IJN, Datuk Dr Azlan Hussin, sistem baharu ini bukan sahaja memperbaiki kualiti rawatan sedia ada, malah membuka peluang untuk merawat lebih ramai pesakit dengan risiko komplikasi yang jauh lebih rendah.
“Kami teruja kerana dari sudut pandang pakar, teknologi ini benar-benar memberi manfaat besar kepada pesakit. Tiada lagi keperluan untuk melakukan pembedahan yang melibatkan pemotongan atau penciptaan poket untuk memasukkan bateri.
"Kini, bateri perentak boleh dimasukkan terus ke dalam jantung, dan pesakit tidak akan mempunyai sebarang wayar dalam tubuh mereka. Ini sekali gus menghapuskan risiko seperti jangkitan, salur darah tersumbat, atau wayar yang rosak,” jelasnya.
Berbanding dengan perentak jantung konvensional yang melibatkan wayar dan diletakkan di bawah kulit, AVEIR™ DR menggunakan dua unit perentak kecil yang diimplan secara langsung ke dalam atrium dan ventrikel kanan jantung.
Kedua-dua peranti ini diselaraskan secara masa nyata menggunakan teknologi komunikasi i2i™ proprietari Abbott, yang menghantar gelombang frekuensi tinggi melalui aliran darah badan.
Teknologi ini juga menggunakan tenaga bateri yang jauh lebih rendah berbanding kaedah tanpa wayar tradisional seperti 'bluetooth' atau isyarat frekuensi radio, sekali gus memanjangkan jangka hayat peranti tersebut.
“Sistem ini juga membolehkan analisis rentakan secara masa nyata, memudahkan pengesahan penempatan peranti semasa prosedur,” tambah Dr Azlan.
Sebagai peneraju dalam pembangunan teknologi jantung, IJN juga memainkan peranan penting dalam penilaian klinikal awal teknologi perentak generasi baharu.
Pada 2018, IJN menjadi hospital pertama di luar Amerika Syarikat yang melaksanakan implan Micra AV, perentak jantung terkecil di dunia.
Pelaksanaan AVEIR™ DR ini, membuktikan komitmen IJN dalam mempertingkat kecemerlangan rawatan jantung.