fb fb fb fb fb

IHR 2005: Pindaan masih dalam proses rundingan - KKM

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Anita Suleiman

KUALA LUMPUR, 11 November- Pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa 2005 (IHR 2005) yang menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat sehingga mencetuskan penyebaran berita palsu, masih dalam proses rundingan.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr. Anita Suleiman berkata isu pindaan IHR 2005 bukan perkara baharu kerana pernah melalui beberapa kali pindaan sebelum ini.

"Usul untuk meminda ini sebenarnya datang dari negara ahli yang mengusulkan supaya perlu ada pindaan kepada IHR bagi memastikan aksesibiliti hak kesamarataan itu terpelihara.

"Sesuatu pindaan yang kita usulkan itu adalah supaya setiap negara ahli diberi hak cipta intelek serta teknologi buatan.

"Tumpuan itu perlu diberi kepada negara ahli supaya setiap negara ahli itu boleh membuat persiapan kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang pandemik.

"Jadi maknanya negara itu boleh membangunkan vaksin sendiri sekiranya diberi hak cipta intelek itu serta diajar tentang teknologi pembuatan dan berkongsi teknologi pembuatan," katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.

Dalam pada itu, Anita turut menegaskan KKM tidak akan berkompromi dengan mana-mana keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, KKM sekarang sedang giat menjalankan libat urus dengan 12 kementerian termasuk agensi bagi meneliti pindaan IHR 2005 dan WHO CA+.

Di samping itu juga, dua jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti pendirian Malaysia dalam isu ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM