fb fb fb fb fb

IGEM 2025 sasar RM5.5 bilion, perkasa teknologi hijau

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (tengah) bergambar selepas melancarkan Majlis Pra Pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM 2025) hari ini/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac- IGEM 2025 yang bakal berlangsung pada 15 hingga 17 Oktober mengangkat tema “Race Towards Net Zero: Inclusivity and Sustainability”.

Acara itu menyasarkan RM5.5 bilion dalam potensi perniagaan serta menarik 250 pempamer dan peserta dari 50 negara, menjadikannya platform utama teknologi hijau dan kelestarian di rantau ini.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, KLSS akan menjadi platform utama pemimpin ASEAN dan global berkongsi pandangan mengenai perubahan iklim dan kelestarian.

"IGEM telah menarik 670,000 pengunjung dari 126 negara dan menjana lebih RM58 bilion dalam potensi perniagaan. Oleh itu, kami berharap tahun ini akan menjadi satu lagi kejayaan, terutama dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta pelancaran acara baharu, KL Sustainability Summit (KLSS), yang diadakan seiring dengan IGEM.

Ini bakal menjadi detik bersejarah yang mengangkat IGEM dan KLSS ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang," kata Nik Nazmi kepada pemberita, hari ini.

Pengunjung IGEM dan KLSS 2025 juga berpeluang menyertai pelbagai inisiatif utama, termasuk Forum Pasaran Karbon Malaysia ke-3 anjuran Bursa Malaysia, yang menekankan tindakan iklim serantau melalui Rangka Kerja Karbon ASEAN.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM