fb fb fb fb fb

Iftar terpanjang di Temerloh tersenarai dalam MBOR

EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Yang Dipertua MPT, Suris Mihat.

TEMERLOH, 7 April- Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) sekali lagi menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi majlis iftar anjurannya diisytihar sebagai terpanjang di negara ini.

Iftar sejauh 2,168 meter itu disertai hampir 5,000 pengunjung di Esplanade 1 dan 2 di sepanjang tebing Sungai Pahang sejauh 1.1 kilometer.

EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pengiktirafan yang diterima oleh MPT wajar dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri ini.

“ Pencapaian di masa akan datang bagi PBT di seluruh negeri Pahang ini sebagai contoh sebagaimana dilaksanakan di daerah Temerloh mungkin usaha ini dapat kita perluaskan lagi kepada PBT lain agar mengikuti contoh dan jejak yang sama. Sebagai contohnya di Pekan ada makanan yang menarik dan  kita harus promosikan makanan menarik ini sebagai mercu tanda baru di kawasan PBT tersebut," katanya.

Mohammad Fakhruddin ditemui selepas menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan oleh wakil MBOR, Lee Pooi Leng kepada Yang Dipertua MPT, Suris Mihat, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.

Ujarnya, PBT seluruh Pahang boleh mengetengahkan lokasi-lokasi menarik yang ada di setiap daerah, untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong.

Sementara itu, Suris berkata penyenaraian dalam MBOR adalah antara usaha MPT mempromosikan Temerloh popular dengan hidangan ikan patin air tawar.

Selain itu,katanya daerah ini mempunyai pelbagai tarikan unik lain seperti titik tengah Semenanjung.

Pada 17 Disember lalu, Pekan Sehari Temerloh di Lurah Semantan dinamakan sebagai pasar pagi terpanjang sejauh 2.1 kilometer dengan bilangan peniaga terbesar iaitu seramai 660 orang.

ZEHRA BINTI ZAMBRI