KUCHING, 23 April- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang, hari ini mengangkat sumpah pelantikan semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak di Astana Negeri Petra Jaya, Kuching.
Istiadat mengangkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Majlis pelantikan itu turut dihadiri oleh Speaker DUN, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki.
Idris mula memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker pada 2022 selepas memenangi kerusi Muara Tuang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 pada Disember 2021. Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Datuk Gerawat Gala yang dilantik sebagai Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri ketika itu.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara dari tahun 2005 hingga 2011, serta Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak dari tahun 2000 hingga 2006.