ICAD tingkat keyakinan pelabur terhadap sistem kehakiman negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pelancaran Bahagian Komersial dan Admiralti Antarabangsa (ICAD) hari ini dijangka mampu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem kehakiman Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perdagangan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan ICAD dijangka meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sistem kehakiman Malaysia dan memperkukuh peranan negara sebagai hab perdagangan serantau.
  • ICAD akan menangani pertikaian komersial antarabangsa dan kes admiralti, memastikan penyelesaian cekap, adil dan pantas.
  • Perkembangan ICAD dipantau enam bulan sebelum pertimbangan perluasan, dengan 116 kes didaftarkan setakat ini.

Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, penubuhan ICAD memastikan institusi kehakiman kekal selari dengan realiti perniagaan global yang semakin kompleks selain meningkatkan daya saing Malaysia dalam urusan perdagangan rentas sempadan.

Menurut beliau, syarikat multinasional memerlukan rangka perundangan yang kukuh serta jaminan bahawa sebarang pertikaian dapat diselesaikan secara cekap, adil dan pantas.

“Kita berharap ICAD akan muncul sebagai bahagian khusus di bawah Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur yang mampu memberi keyakinan tambahan kepada pelabur.

“Apa juga pertikaian atau isu yang timbul dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat secara bijaksana dan cekap,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran ICAD, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

ICAD akan mengendalikan pelbagai pertikaian komersial antarabangsa dan kes admiralti, termasuk pelanggaran kontrak, tuntutan rentas sempadan serta penguatkuasaan keputusan timbang tara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya dilantik mengetuai ICAD yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Setakat ini, sebanyak 116 kes telah didaftarkan di ICAD, dengan 54 daripadanya melibatkan kes admiralti.

Dalam pada itu, Ketua Hakim Negara memaklumkan perkembangan bahagian berkenaan akan dipantau dalam tempoh enam bulan sebelum sebarang cadangan perluasan dibuat.