fb fb fb fb fb

Ibu tunggal terperangkap di Myanmar, dipaksa jadi 'scammer'

Foto hiasan

KUANTAN, 31 Januari- Seorang ibu tunggal berusia 29 tahun terperangkap di Myanmar selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan, sejak November tahun lalu.

Mangsa berasal dari Raub itu dipercayai dibawa seorang lelaki dikenali melalui Facebook dan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Johor sebelum dibawa ke Myanmar.

Perkara itu didedahkan kepada ahli dewan undangan negeri (ADUN) Semambu, Chan Chung Kuang dalam sidang media, hari ini setelah dimaklumkan oleh abang mangsa yang ingin dikenali sebagai Wong.

Menurut Chun Kuang mangsa berjaya menghubungi keluarganya menggunakan aplikasi Facebook Messenger pada 21 Januari dan memaklumkan dia dipaksa bekerja di negara terbabit.

"Mangsa dikatakan ingin mencari duit bagi menampung perbelanjaan anak perempuannya. Jadi dia teah dibawa ke Johor Bahru, dan syarikat tersebut berjaya memujuk mangsa untuk bekerja di Thailand sebagai pekerja khidmat pelanggan.

"Namun mangsa telah dibawa ke Myanmar, dan sekiranya mangsa ingin pulang pampasan berjumlah RM17,000 perlu dibayar," katanya kepada pemberita di sini.

Pada awalnya mangsa bekerja sebagai operator khidmat pelanggan, namun dibawa secara paksa ke Myanmar untuk bekerja sebagai 'scammer'.

Kehilangan mangsa disedari oleh ahli keluarga pada 23 Disember lalu sebelum satu laporan polis dibuat di balai polis Raub.

Sementara itu pegawai Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Daniel Khoo berkata, pihaknya akan menghubungi Menteri Luar dan bekerjasama dengan satu Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar dalam usaha menyelamatkan mangsa.

"Kita akan berhubung dengan NGO di Myammar. Jadi kita akan bekerjasama untuk misi menyelamatkan mangsa. Sekarang kita tunggu mangsa untuk mendapatkan lokasi yang tepat sebelum menghantar NGO untuk menyelamatkan mangsa ke lokasi berkenaan," katanya.

Dalam masa sama masyarakat perlu sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan di luar negara bagi menggelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI