PETALING JAYA, 22 Disember - Seorang ibu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak perempuannya berusia dua tahun tiga bulan yang maut selepas ditinggalkan dalam kereta lebih tujuh jam, pada 8 November lalu.
Wanita berusia 38 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa meninggalkan anaknya dalam kereta sehingga meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Jalan PJU 1A/25, Ara Damansara di sini, antara 8 pagi hingga 3.15 petang.
Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Namun, peguam yang mewakili tertuduh, Datuk Hanif Hassan memohon jaminan dikurangkan.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 30 Januari depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.