KLANG, 25 Julai – Ibu bapa menyambut baik langkah Kerajaan Negeri Selangor membenarkan anak-anak tidak ke sekolah sekiranya tahap kualiti udara semakin membimbangkan.
Inisiatif itu disifatkan sebagai tanda keprihatinan, terutama bagi anak-anak yang mempunyai masalah kesihatan.
“Hari ini saya tak hantar anak ke sekolah sebab cuaca tak baik. Anak saya pun tak sihat, dah dua hari sakit tekak, batuk dan selesema,” kata Mohd Suhaimi Mohd Sani.
Beliau berkata mereka telah memaklumkan keadaan anak kepada guru kelas dan guru turut menasihatkan supaya anak berehat di rumah.
Sementara itu, seorang ibu, Ida Riyani Anuar berkata walaupun anaknya hadir ke sekolah, anak bongsunya mula menunjukkan tanda-tanda tidak selesa.
“Anak saya yang kecil tadi minta tak nak pergi sekolah sebab pihak sekolah suruh pakai pelitup muka. Anak pun rasa sesak nafas, seorang lagi cuti sebab batuk,” katanya.
Ibu bapa juga bersetuju sekolah wajar ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 bagi mengurangkan risiko kesihatan murid.
“Kalau IPU tinggi, wajar tutup sekolah sebab kesihatan murid terjejas. Anak saya pun dah demam dua hari sebab jerebu,” kata Maswiyati Hanasi.
Isa Husin pula menyokong langkah penutupan sekolah sementara jika keadaan udara terus tidak baik.
“Wajar sekali sekolah ditutup sementara sebab keadaan udara tak baik untuk kesihatan,” katanya.
Setakat ini, bacaan IPU di Johan Setia, Klang, kekal antara yang tertinggi direkodkan di negara ini.