fb fb fb fb fb

Ibu bapa perlu sentiasa pantau akaun media sosial anak - Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 9 Mac - Satu pertemuan antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan diadakan dalam masa terdekat, bagi membincangkan dan memperkukuhkan aspek keselamatan dalam talian terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menggesa, ibu bapa agar sentiasa memantau akaun media sosial anak-anak mereka terutama yang berusia bawah 13 tahun kerana berkemungkinan terpengaruh dan mengikut trend tertentu.

"Kalau ada anak-anak bawah 13 tahun, larang mereka daripada memiliki akaun media sosial kerana kita lihat mereka pada usia yang cukup mudah mengikut trend-trend tertentu dan daripada segi pembangunan mental masih banyak yang mereka perlu lalui.

"Di pihak kementerian komunikasi kita akan cadangkan satu kempen kesedaran yang boleh pergi ke sekolah bertemu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekali dengan pengendali platform media sosial sendiri. Rata-rata saya lihat pihak media sosial bersedia lakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama pihak kementerian untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid, anak-anak.

"Ini supaya mereka faham sebaik mungkin mereka tidak main media sosial pada usia muda. Kita akan bincangkan apa mengambil masa singkat dan apa yang boleh bersifat kekal lama yang boleh kita lakukan," kata Fahmi kepada pemberita selepas Program Back To School Bersama-sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Shopee di Ibu Negara.

Seramai 250 pelajar sekitar komuniti Lembah Pantai menerima voucher Shopee bernilai RM100 untuk membeli kelengkapan persekolahan.

Dalam pada itu Fahmi berkata, MCMC telah menyekat akaun individu yang menyebarkan ajaran sesat 'The Ahmadi Religion of Light and Peace'.

Fahmi memaklumkan beliau telah menyemak akaun tersebut dan ia sudah tidak dapat diakses oleh pengguna media sosial.

"Sebelum ini pihak MCMC maklumkan mereka mendapat pandangan dan juga mungkin laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) khususnya mengenai ajaran sesat itu. Ada beberapa tindakan telah diambil untuk disebut sebagai siasatan untuk pastikan bukti tidak terjejas.

"Setelah beberapa perkara dilakukan, pihak mcmc telah mendapat lebih kurang 'go-ahead' daripada pihak menteri agama dan hari ini saya lihat akaun itu tidak boleh diakses," katanya.

TETITIA YUSOFF