Ibu bapa perlu lebih aktif kawal internet anak-anak

FOTO JANAAN AI

KUALA LUMPUR, 8 Februari – Ibu bapa digesa memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal penggunaan internet anak-anak dengan mengaktifkan ciri sekatan keselamatan atau ‘parental controls’ pada peranti masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu bapa diminta aktif mengaktifkan ciri sekatan keselamatan pada peranti anak untuk lindungi mereka dari ancaman dalam talian.
  • Peningkatan peranan keluarga ditekankan bersama usaha kerajaan memperluas kesedaran keselamatan digital ke komuniti.
  • Berhati-hati terhadap penyalahgunaan AI yang boleh memanipulasi gambar dan video serta lindungi maklumat peribadi anak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata fokus tersebut menjadi mesej utama Kempen Internet Selamat 2026 bagi memastikan kanak-kanak dilindungi daripada ancaman dalam talian termasuk penyalahgunaan data dan komunikasi dengan pihak tidak dikenali.

“Mesej utama kita pada Hari Keselamatan Internet tahun ini ialah ‘Parents Take Control’. Ibu bapa perlu memainkan peranan serta mengaktifkan sekatan pada peranti, terutamanya bagi anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Hari Keselamatan Internet 2026 di Tasik Titiwangsa di sini.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini memberi tumpuan kepada peluasan infrastruktur digital serta pengukuhan undang-undang, namun pendekatan kini diperluas dengan meningkatkan tanggungjawab keluarga dalam aspek keselamatan siber.

Selain sekolah, program kesedaran juga akan diperluas ke peringkat komuniti menerusi pelantikan 150 Wira Keselamatan Internet bagi menyampaikan maklumat berkaitan modus operandi penipuan terkini serta isu keselamatan digital.

Datuk Fahmi turut mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dalam melindungi maklumat peribadi anak-anak kerana teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi disalahgunakan untuk memanipulasi gambar dan video.