fb fb fb fb fb

Ibu bapa perlu bimbang terhadap jangkitan COVID-19 kepada anak - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Februari - Hampir 80,000 atau 2.2 peratus populasi kanak-kanak 5 hingga 11 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, setakat semalam.

Kanak-kanak berkenaan menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dilancarkan pada 3 Februari lalu dan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Selaras sasaran 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan, pakar kesihatan berpendapat ibu bapa sewajarnya lebih menumpukan kebimbangan terhadap jangkitan COVID-19 berbanding menyempitkan tumpuan kepada vaksin.

Pakar Perunding Pediatrik Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak kecil masih kuat sebenarnya mengundang risiko kepada anak mendapat jangkitan COVID-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.

Data menunjukkan kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

Jelasnya, dua dos vaksin COVID-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak. Ia juga mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19.

Sementara itu, Pakar Virologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.

Kesan selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal dan secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.

Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan kerana ia lebih sukar ditangani, katanya.

Media Baharu