KUALA LUMPUR, 15 Disember - Pendedahan berterusan serta penglibatan aktif ibu bapa dalam program keselamatan yang dianjurkan pihak berkuasa dan agensi berkaitan berjaya meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan anak-anak ketika menjalankan aktiviti luar.
Ketua Bahagian Operasi Bencana dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata peningkatan itu juga hasil daripada perubahan sikap ibu bapa yang kini lebih teliti merancang aktiviti luar.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu peka dan mampu menilai tahap keselamatan serta risiko ketika melakukan sebarang aktiviti.
"Perancangan awal amat penting kerana ia dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan, termasuk dari segi pemilihan lokasi dan tarikh yang sesuai.
"Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, kami menyarankan agar ibu bapa atau waris membuat pilihan yang lebih bijak dalam menentukan destinasi dan tarikh percutian, di samping sentiasa mengutamakan aspek keselamatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Selamat Pagi Malaysia di Angakaspuri Kota Media di sini.
Namun begitu, risiko kemalangan tetap wujud sekiranya langkah pencegahan tidak dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Sehubungan itu, ibu bapa disarankan agar lebih berhemah dalam memilih destinasi percutian serta memastikan setiap aktiviti yang dirancang bersesuaian dengan tahap kemampuan dan kecergasan fizikal anak masing-masing.