fb fb fb fb fb

Ibu bapa, guru perlu main peranan basmi masalah sosial

(Foto Bernama)

KUANTAN, 29 Januari- Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan penting dalam membasmi masalah sosial yang semakin membimbangkan.

Ini termasuk memantau aktiviti dan mengenal pasti rakan terdekat anak masing-masing.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah isu disiplin dan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga harus diberi perhatian.

"Isu disiplin dan penggunaan internet seperti laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram perlulah diberi perhatian dan dipantau oleh pihak ibu bapa dan guru.

"Perlu mengenal pasti rakan terdekat anak-anak agar pergerakan mereka dapat dikawal," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Aspresiasi Pendidikan ke-18 Sekolah Kebangsaan Tunku Azizah (SKTA) di Kuantan, Pahang.

(Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah)

Baginda bertitah, perhatian dan kasih sayang juga perlu diberikan agar anak-anak tidak rasa tersisih dan membawa haluan sendiri.

Malah bimbingan dan didikan agama perlu dititipkan kerana ia mampu membentuk sahsiah yang baik.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mencemar duli mengurniakan anugerah kepada 121 murid tahun satu hingga tahun enam; serta 10 tokoh murid di sekolah tersebut sebelum berkenan mencemar duli melawat Pameran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan kokurikulum yang diadakan.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Media Baharu