fb fb fb fb fb

Ibu Aiman Syafiq sarat mengandung beri penghormatan terakhir

Aiman Syafiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Mukim Badak, Melawi, Bachok

BACHOK, 28 Januari - Jenazah salah seorang kanak-kanak lelaki lemas selepas mandi di kolam latihan kereta kebal di sebuah kem tentera di Temerloh, Pahang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mukim Badak, Melawi, Bachok, Kelantan.

Jenazah Aiman Syafiq Sudirman, 11 selamat dikebumikan pada 9.30 malam dalam suasana hiba.

Lebih memilukan apabila ibu kepada Aiman, Noraidil Azila Hashim, 35 yang sarat mengandung terpaksa dipapah bagi memberi penghormatan terakhir buat anaknya itu.

Sebelum itu, jenazah Aiman Syafiq tiba di kediaman neneknya di Kampung Rengas Badak, kira-kira 7.30 malam sebelum dibawa ke madrasah bersebelahan untuk solat jenazah.

Pengebumian kanak-kanak itu dihadiri 300 orang termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ahli keluarga dan penduduk kampung.

Sementara itu, nenek Aiman Syafiq, Zainab Daud berkata, dia merasa hairan dengan tindakan cucunya itu yang membuang gambar miliknya.

Gambar itu dibuang sebelum dia bergerak pulang bersama ibu bapanya ke kem tentera selepas bercuti ke kampungnya di Kampung Badak minggu lalu.

Neneknya berkata, dia menemui gambar cucu kesayangannya itu di tepi rumahnya ketika sedang menyapu sampah.

Katanya, walaupun pelik dengan tindakan cucunya, namun dia tidak mengesyaki apa-apa kerana cucunya disifatkan sebagai manja seperti biasa.

Arwah Aiman adalah anak sulung daripada tiga beradik.

Terdahulu, media melaporkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lemas dalam kolam latihan kereta kebal, petang semalam.

Selain Aiman, dua lagi mangsa adalah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13 dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, 11.

GRACE AISYAH KEDAYAN