fb fb fb fb fb

Ibadah Korban: Veterinar Negeri Sembilan keluarkan 1,088 permit sembelihan

Foto hiasan/Foto RTM

SEREMBAN, 16 Jun- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan mengeluarkan 1,088 permit sembelihan luar dan Sijil Kesihatan Veterinar bagi ibadah korban tahun ini.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, ia membabitkan 2,233 ekor lembu, 488 ekor kambing dan bebiri, dan 56 ekor kerbau bagi menyempurnakan ibadah itu.

Selain masjid dan surau, proses penyembelihan turut dijalankan di beberapa lokasi lain iaitu di tempat awam, kawasan persendirian dan rumah sembelihan.

Untuk rekod, lembu merupakan haiwan ternakan tertinggi yang menjadi pilihan bagi ibadah korban di negeri ini, iaitu mencecah 80 peratus daripada keseluruhan haiwan ternakan yang digunakan sebagai haiwan korban diikuti dengan kambing dan bebiri sebanyak 18 peratus dan kerbau sebanyak dua peratus.

Datuk Seri Jalaludin yang juga Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup mengingatkan supaya semua penganjur ibadah korban mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa iaitu Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pejabat Agama Daerah serta pihak keselamatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD