fb fb fb fb fb

i-Saraan Plus langkah tepat memperkukuh jaringan keselamatan sosial

Foto hiasan/ BERNAMA

PETALING JAYA, 11 Oktober - Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) menyambut baik Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Penasihat PPRPM yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, belanjawan kali ini memperlihatkan peralihan dasar daripada bantuan jangka pendek kepada pembinaan daya tahan jangka panjang, pembangunan kemahiran, serta perlindungan sosial bagi golongan pekerja gig di negara ini.

Dalam satu kenyataan Bryan menyifatkan inisiatif i-Saraan Plus yang diperkenalkan kerajaan merupakan satu langkah tepat ke arah memperkukuh jaringan keselamatan sosial.

Inisiatif itu menawarkan padanan caruman RM600 setahun ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan had seumur hidup sebanyak RM6,000.

"Ia turut menggalakkan budaya simpanan dalam kalangan pekerja, selain mengiktiraf sumbangan ekonomi mereka yang sebelum ini kurang dilindungi dalam sistem formal.

Pada masa sama, peruntukan sebanyak RM3 bilion di bawah HRD Corp untuk tiga juta peluang latihan perlu dilaksanakan dengan lebih telus dan inklusif.

Kuota latihan khusus untuk pekerja gig, termasuk penghantar makanan, barangan dan pemandu e-hailing perlu diwujudkan untuk dimanfaatkan golongan sasaran secara adil dan berkesan.

Dari segi perlindungan sosial, kesinambungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dengan subsidi 50 hingga 70 peratus bagi sektor tertentu wajar dipuji.

"PPRPM menekankan keperluan penambahbaikan dalam penyelarasan data antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan platform digital supaya semua pekerja aktif mempunyai lesen sah seperti PSV atau eVP benar-benar dilindungi tanpa sebarang pengecualian", katanya dalam satu kenyataan.

Pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 pula menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pekerjaan baharu negara.

PPRPM menyokong sepenuhnya usaha ini yang akan memberi jaminan undang-undang kepada pekerja gig sekali gus mewujudkan hubungan kerja yang lebih jelas dan seimbang antara pihak platform, kerajaan dan pekerja.

Belanjawan 2026 bukan sekadar dokumen fiskal, tetapi menandakan pengiktirafan rasmi terhadap struktur tenaga kerja baharu negara.

PPRPM menyeru agar kerajaan terus memperkukuh keterlibatan organisasi industri dan persatuan pekerja gig dalam proses konsultasi dasar supaya setiap keputusan berpaksikan realiti di lapangan.

ROSLINA BINTI DIN