KUALA LUMPUR, 29 Jun- Makruh bagi pasangan yang memilih untuk mengikut trend childfree atau tidak mahu memiliki anak selepas berkahwin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, trend berkenaan dilihat akan menyebabkan sesebuah institusi keluarga tidak berkembang sekali gus elemen sakinah, mawaddah, warahmah dalam sebuah keluarga tidak dapat dibina dengan baik.
"...untuk dia (pasangan) mengatur atas sebab kesihatan atau perancangan kewangan itu tidak salah. Ini yang menjadi kerisauan apabila pasangan ini memang tidak mahu untuk memiliki anak. Pasangan memilih untuk bahagia dan gembira seperti zaman bujang.
"...anak dianggap seperti beban. Perkahwinan itu datang dengan tanggungjawab dengan perkawinan itu ia mendidik seorang lelaki menjadi seorang pemimpin, seorang wanita menjadi isteri. Kedua-duanya mempunyai tanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Anak Muda Hero Keluarga anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di ibu negara.
Selain itu, Mohd Na'im turut mengingatkan para doktor yang menerima pasangan yang tidak ingin mempunyai anak untuk memberikan teguran dan juga nasihat yang baik terhadap pasangan tersebut.
Pada masa sama beliau turut menjelaskan bahawa, pasangan yang sudah berkahwin perlu melihat anak yang dikurniakan itu sebagai rezeki daripada Allah dan bukannya bebanan.
Baru-baru ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa hukum suami isteri yang tidak mahu memiliki anak secara sengaja hingga menjadikan ia sebagai gaya hidup untuk bebas daripada tanggungjawab adalah makruh mengikut syarak.