fb fb fb fb fb

Hujan lebat di timur dan utara semenanjung sehingga 28 November - MetMalaysia

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 22 November - Penumpuan angin monsun dijangka berlaku di timur dan utara semenanjung sehingga 28 November ini.

MetMalaysia memaklumkan keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan tersebut.

Pada masa sama, angin kencang dan laut bergelora juga dijangka berlaku di Laut China Selatan.

"Sehubungan itu MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) yang melibatkan negeri Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang berkuat kuasa hingga esok.

"Manakala negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang berkuat kuasa sehingga Jumaat ini," kata MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook.

MetMalaysia juga memaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora turut dikemas kini berkuat kuasa sehingga 24 November.

Sementara itu, MetMalaysia berkata di negeri-negeri lain, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang masih berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan.

"Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk maklumat terkini dan sahih," kata MetMalaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN