fb fb fb fb fb

Hujan berterusan di Johor dan Pahang hingga esok

FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Disember - Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) memberi amaran hujan berterusan dijangka berlaku di enam daerah di Johor sehingga esok.

Hujan berterusan pada tahap waspada melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Met turut melaporkan keadaan sama berlaku di tiga daerah di Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Romping.

Sementara itu, Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur dan selatan Semenanjung sehingga esok.

Katanya, keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

"Di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Sehubungan itu, orang awam dinasihat untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

GRACE AISYAH KEDAYAN