KUANTAN, 25 Januari- Hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan 156 penduduk di Pekan Sungai Lembing Kuantan, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Kesemua penduduk terjejas kini berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing.
Menurut laporan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuantan, kesemua penduduk terjejas dipindahkan pada pukul 10.30 malam tadi, dengan bantuan Agensi Pertahanan Awam (APM).
Hujan lebat beserta peningkatan paras air sungai secara mendadak, mengakibatkan lokasi kediaman penduduk yang berkedudukan rendah ditenggelami air.
Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Lembing telah melepasi paras bahaya iaitu 39.88 meter.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman sebelum ini menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca.
Katanya, sepanjang musim monsun, anggota APM sentiasa memantau keadaan dan bersiap siaga terutama menyalurkan maklumat berkaitan banjir dari semasa ke semasa.