
PUTRAJAYA, 8 Februari – Malaysia menjangkakan lebih banyak kerjasama dengan India dalam pelbagai bidang susulan hubungan dua hala yang kini melangkaui kerangka sedia ada.
- Hubungan Malaysia-India berkembang pesat hasil komitmen berterusan kedua-dua pihak.
- India dilihat sebagai rakan akrab penting dari sudut budaya dan geopolitik.
- Perbincangan termasuk isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
- Kerjasama dijangka meluas ke pelbagai bidang selepas rundingan tertutup dan perincian pasukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan Malaysia-India berkembang pesat hasil komitmen berterusan kedua-dua pihak, selain melihat India sebagai rakan akrab yang penting dari sudut budaya dan geopolitik.
“Perdana Menteri Modi, kita telah membina hubungan yang amat baik dan saya ingin merakamkan penghargaan sekali lagi kerana dalam beberapa tahun kebelakangan ini hubungan itu melangkaui kerangka sedia ada hasil usaha beliau dan pasukan.
“Kami juga berbincang secara tertutup beberapa isu yang perlu diperincikan oleh pasukan masing-masing.
“Prinsipnya penting, iaitu kita menganggap India sebagai negara sahabat yang rapat dengan Malaysia dari sudut budaya dan kini geopolitik, serta menjangkakan lebih banyak kerjasama dalam semua bidang,” katanya.
Beliau berucap dalam mesyuarat dua hala yang dihadiri delegasi kedua-dua negara di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata selama kira-kira 45 minit.
Perbincangan itu antara lain menyentuh pengukuhan hubungan dua hala serta isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.