fb fb fb fb fb

Hubungan Malaysia-China contoh terbaik di rantau ini - Li Qiang

Li Qiang ketika berucap pada majlis makan malam bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Jun- China menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam meningkatkan persahabatan dan hubungan dua hala untuk manfaat bersama dan masa depan yang lebih cerah bagi kedua-dua negara.

Perdana Menteri China, Li Qiang berkata,  hubungan Malaysia-China adalah contoh terbaik hubungan antara negara di rantau ini

Beliau turut menekankan pencapaian tersebut sebagai titik permulaan baharu bagi kedua-dua negara untuk merangka masa depan bersama yang lebih kukuh dan makmur.

“Sama ada pada masa lepas, sekarang atau masa depan, persahabatan tetap menjadi ciri utama hubungan Malaysia-China. Kami telah membawa hubungan ini ke titik permulaan baharu dan kami berkongsi aspirasi untuk meneruskannya kepada generasi akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, Li menggariskan empat cadangan yang boleh difokuskan oleh kedua-dua negara untuk membina hubungan yang lebih kukuh ke hadapan.

Pertama, untuk meningkatkan persahabatan tradisional dan mengukuhkan asas bagi hubungan dua hala, kedua, Li berkata terdapat keperluan untuk menyelaraskan strategi pembangunan kedua-dua negara sambil memperluaskan kepentingan bersama.

Cadangan ketiga, Perdana Menteri China menekankan keperluan untuk memperdalam pertukaran dan pembelajaran bersama bagi menggalakkan lagi pemahaman antara rakyat kedua-dua negara termasuk dalam bidang seni dan budaya, pelancongan, pendidikan dan sukan.

Sementara keempat, cadangan untuk mengukuhkan solidariti dan koordinasi antara China dan Malaysia di arena antarabangsa bagi menangani cabaran global bersama-sama.

“China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menyokong dunia multipolar yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang bermanfaat dan sejagat, serta bersama-sama membina rumah yang aman, selamat dan terjamin, makmur, indah, dengan nilai persahabatan dan harmoni di Asia,"katanya.

Li, yang berada di Kuala Lumpur untuk lawatan rasmi selama tiga hari sejak Selasa, turut mengimbas kembali bahawa 50 tahun lepas, Malaysia telah menahan tekanan Perang Dingin untuk menjalin hubungan rasmi dengan China, menjadi peneraju dalam kalangan negara ASEAN.

Hari ini hubungan itu kekal kukuh dalam semua bidang, dengan kedua-dua negara terus saling menyokong dalam masa sukar sambil menekankan bahawa hubungan berkenaan berdasarkan kerjasama menang-menang.

“Sepanjang 50 tahun hubungan diplomatik, China dan Malaysia sentiasa melayan satu sama lain dengan baik dan ikhlas, dan kekal sebagai jiran yang baik, sahabat yang baik dan rakan kongsi yang baik.

"Kedua-dua negara kita telah memberikan sokongan yang kukuh dalam meneroka laluan pembangunan yang sesuai dengan keadaan negara kita. Hubungan kita adalah contoh terbaik hubungan antara negara di rantau ini,” katanya.

Tambah Li, China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut.

Beliau turut menjelaskan buah-buahan dari Malaysia seperti durian dan manggis terkenal dalam kalangan pengguna China.

Li berucap pada majlis makan malam bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan dua hala Malaysia-China yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE