fb fb fb fb fb

Hubungan Malaysia-Brunei terus diperkukuh

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah diberi sambutan negara di Istana Negara hari ini, sempena lawatan negaranya ke Malaysia selama tiga hari bermula semalam.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Pengiran Anak Saleha, pada pukul 11.00 pagi disambut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri kabinet.

Istiadat sambutan di padang kawad itu dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Brunei dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, disusuli tembakan meriam 21 das.

Sultan Brunei kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormat membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Baginda bersama Al-Sultan Abdullah kemudian menanam Pokok Simpor (Dillenia Suffrotocosa) di halaman istana, disaksikan Raja Isteri Pangiran Anak Saleha, Tunku Azizah, Datuk Seri Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.


(Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kiri) dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

Pada istiadat itu, kedua-dua pemimpin turut mengadakan pertemuan di Dewan Seri Maharaja.

Sultan Brunei juga diraikan dan diberi penghormatan pada Majlis Jamuan Negara yang turut menyaksikan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke majlis itu.

Baginda seterusnya dijadual bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya dan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala antara Malaysia-Brunei.

Sebelum mengakhiri lawatannya di Malaysia pada Jumaat, baginda juga dijangka berangkat ke Majlis Makan Malam yang dihoskan oleh Perdana Menteri di Malaysian Petroleum Club, Menara Berkembar Petronas.

Media Baharu