KUALA LUMPUR, 19 Jun- Malaysia menyifatkan hubungan dengan China bukan sekadar dua hala semata-mata tetapi menerusi kerjasama strategik yang komprehensif.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan, hubungan kukuh antara China-Malaysia menjadi tonggak dalam menjamin kepentingan jangka panjang Malaysia dan rakyatnya.
"Kami percaya bahawa adalah menjadi kepentingan strategik Malaysia untuk menjalin persahabatan dan kerjasama dengan China, bukan menentangnya.
"Kami berusaha sedaya upaya untuk melibatkan China secara diplomatik dan mengintegrasikannya ke dalam hal ehwal serantau, bukan kerana ia sentiasa mudah, tetapi kerana ia penting untuk masa depan kita bersama,"katanya.
Beliau bekata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun Hubungan Malaysia-China ke 50.
Turut hadir Perdana Menteri China Li Qiang yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar dan Li bertukar-tukar buku mewah bagi memperingati ulang tahun hubungan diplomatik ke-50 antara Malaysia dan China.
Li menyerahkan buku bertajuk 50th Anniversary of China-Malaysia Diplomatic Ties Hand in Hand for Win-Win Cooperation, manakala Anwar menyampaikan buku berjudul Ties that Bind kepada Perdana Menteri China itu.
Ties that Bind diterbitkan untuk memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, yang dijalinkan pada 31 Mei 1974.
Buku dwibahasa Inggeris - Cina setebal 174 halaman itu diterbitkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dihasilkan dengan kerjasama Kementerian Luar.
Ties that Bind juga merangkumi mesej daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai.
Buku berkenaan, menerusi teks dan gambar, menyampaikan pertukaran penting antara pemimpin dan rakyat kedua-dua negara serta pertumbuhan hubungan politik, ekonomi, budaya, sosial, sukan dan pelancongan antara dua negara bagi tempoh 50 tahun lepas.
Sementara itu, buku mewah 50th Anniversary of China-Malaysia Diplomatic Ties Hand in Hand for Win-Win Cooperation diselenggarakan oleh Agensi Berita Xinhua dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China.