BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Februari - Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Brunei bukan sahaja mengeratkan lagi jalinan kerjasama kedua-dua negara, malah membawa hubungan sedia ada ke tahap lebih tinggi dan komprehensif.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, perbincangan beliau dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah membuahkan hasil dan amat berjaya setelah kesepakatan dicapai membabitkan perkara-perkara berkepentingan bersama.
Kunjungan kali pertama Ismail Sabri ke Brunei sejak dilantik menjadi Perdana Menteri, mencerminkan komitmen Malaysia untuk mengekalkan hubungan istimewa yang telah terjalin sejak tahun 1984.
Malah, hasil pertemuan empat mata Perdana Menteri dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman, beberapa perkara telah mencapai kata sepakat termasuk mencari penyelesaian isu-isu yang tertangguh akibat wabak COVID-19.
“Alhamdullilah, lawatan rasmi pertama saya selama dua hari ke negara Brunei Darussalam berlangsung dengan baik dan sempurna… kunjungan ini amat berjaya,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar di akhir lawatan beliau sebelum berlepas pulang ke Malaysia.
Selain itu, tumpuan utama adalah persetujuan secara dasar mengenai Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) antara Malaysia-Brunei.
Kata sepakat dicapai oleh kedua-dua pemimpin untuk melaksanakan VTL udara dan darat secepat mungkin bagi memudahkan rakyat merentas sempadan.
FOTO FACEBOOK ISMAIL SABRI
Mengenai usaha memudahkan urusan rakyat merentas sempadan, Malaysia-Brunei telah menyatakan kesediaan untuk Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksinasi dan integrasi sistem bagi aplikasi MySejahtera dan BruHealth.
Jika sebelum ini rakyat bagi kedua-dua negara mungkin berhadapan kekangan untuk mengemukakan maklumat atau pengesahan sijil vaksinasi melalui aplikasi tersebut, namun menerusi inisiatif ini akan memudahcara perjalananrakyat secara timbal balas, terutama mereka yang berulang-alik merentas sempadan.
Pertemuan turut menyentuh mengenai Projek Lebuh Raya Trans-Borneo (Malaysia-Brunei).
Lebuhraya Trans Borneo adalah sistem rangkaian jalan raya utama menghubungkan Kalimantan (Indonesia), Sarawak dan Sabah (Malaysia) serta Brunei.
Kedua-dua negara bersetuju meneruskan rundingan dan konsultasi dalam meneliti serta memutuskan cadangan projek antara Malaysia-Brunei yang meliputi dua fasa.
Fasa satu iaitu pembinaan kini berada pada tahap 77%, manakala bagi fasa kedua pula akan melibatkan Brunei dalam dua segmen.
Tidak terkecuali, usaha-usaha menetapkan penandaan persempadanan turut dipersetujui.
Dalam tempoh 11 tahun, hanya 87.27 kilometer daripada 528.45 kilometer sempadan darat atau 17 peratus yang sudah disusun dan ditanda, daripada jumlah itu hanya 34.15 kilometer yang dimuktamadkan.
Sehubungan itu, mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat yang dipersetujui pada tahun 2011 di peringkat pegawai kanan, akan diadakan pada kadar segera.
Tidak hanya tertumpu kepada perkara berkepentingan bersama, malah perbincangan turut mengetengahkan isu-isu serantau termasuk situasi di Myanmar dan Laut China Selatan.
Dalam lawatan itu juga, Ismail Sabri turut menjemput Sultan Brunei ke Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) ke-24 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri ke Brunei melabuhkan tirainya semalam.
"Hubungan akrab antara Malaysia dan Brunei yang kini berada pada tahap yang membanggakan." kata Perdana Menteri.