LIPIS, 11 Oktober - Kerajaan Negeri Pahang terus menggalakkan budaya hidup sihat menerusi penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program yang julung kali diadakan di daerah Lipis itu juga dilaksanakan serentak di 12 kawasan seluruh Pahang.
Ia bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, malah memberi impak positif kepada masyarakat dari segi kesihatan dan ekonomi setempat.
"Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan, tetapi juga kepada individu kerana ia berkait rapat dengan aspek kesihatan. Aktiviti seperti berjoging pada waktu pagi dapat menyihatkan tubuh badan.
"Selain itu, masyarakat setempat, khususnya peniaga, boleh memanfaatkan peluang untuk berniaga apabila orang ramai hadir ke program ini. Para pengunjung juga berpeluang melihat sendiri pelbagai pameran dan produk tempatan yang terdapat di Lipis, termasuk gerai-gerai yang disertai oleh agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Pahang di Dataran Orang Kaya Haji, Kuala Lipis di sini.
Program tiga hari bermula semalam hingga esok menghimpunkan lebih 50 aktiviti sukan dan riadah bawah pelbagai segmen menarik termasuk Segmen Rekreasi, Segmen Kecergasan, Segmen Sukan Untuk Semua, Segmen Minoriti serta Segmen Sampingan.
Pada majlis sama, sebanyak 11 persatuan menerima Dana Sukan Komuniti daripada Kerajaan Negeri melibatkan jumlah keseluruhan RM220,000.