KENINGAU, 21 Jun – Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) bukan sekadar pameran hasil tani semata-mata, sebaliknya menjadi medan padanan perniagaan, demonstrasi teknologi moden serta perkongsian ilmu dalam sektor agromakanan.
Program tahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu bakal berlangsung di Tawau dan Sook bulan depan, yang dijadualkan pada 18 hingga 20 Julai depan.
Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, HPPNK akan memulakan penganjuran di Tawau sebelum diteruskan ke Sook.
Manakala majlis kemuncak dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu pada 1 Ogos.
“Kita akan mula road HPPNK dengan kick-off di Tawau, kemudian ke pekan Sook pada 18, 19 dan 20 Julai. Majlis kemuncaknya akan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 1 Ogos nanti,” katanya selepas merasmikan Pasar Tamu Rancangan Belia Tiulon, di sini hari ini.
Menurut beliau, program itu akan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pemain industri, usahawan tani serta masyarakat umum menerusi pendekatan pameran berskala besar yang lebih interaktif dan berimpak tinggi.
“Ia menjadi ruang untuk perkongsian ilmu, peluang pasaran dan pendedahan kepada teknologi baharu dalam sektor agromakanan tempatan,” katanya lagi.