fb fb fb fb fb

Hospital Tuanku Fauziah laksana Sambutan Hari Derma Darah Sedunia

Puteri UMNO Bahagian Kangar bekerjasama dengan Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah menganjurkan Program Mai Derma Darah bersempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia

KANGAR, 1 Julai- Hospital Tuanku Fauziah menerusi Jabatan Perubatan Transfusi melaksanakan Sambutan Hari Derma Darah Sedunia bermula 29 Jun sehingga 5 Julai ini, bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun setiap tahun.

Inisiatif ini bagi menyeru orang ramai hadir menderma darah bagi menampung stok bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah, selain penglibatan individu yang secara sukarela yang hadir menderma.

Ia turut mengalu-alukan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau agensi untuk bekerjasama menjayakan kempen berkenaan.

Antaranya, Puteri UMNO Bahagian Kangar yang turut bekerjasama dengan Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah menganjurkan Program Mai Derma Darah bersempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia ini.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul bari Mat Jahya, Program Mai Derma Darah yang dilaksanakan ini merupakan program bulanan sebagai satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan kali ini istimewanya dianjurkan bersempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia.

Sebanyak 29 pek darah berjaya dikumpulkan dari penderma aktif dan penderma baharu bagi program kali ini, walaupun sasaran awal yang ditetapkan sebanyak 50 pek darah setiap kali penganjuran program.

"Program ini juga mampu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menderma darah daripada aspek kesihatan serta keperluan untuk rawatan pesakit, tambahan lagi dengan keperluan antara 800 hingga 1,000 pek darah di Hospital Tuanku Fauziah setiap bulan bagi kes-kes kecemasan."

“Melalui derma darah secara tetap dapat memastikan bekalan darah yang mencukupi dan selamat untuk memenuhi keperluan semua pesakit yang memerlukan transfusi darah,” jelas beliau ketika meninjau Program Mai Derma Darah sempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah.

Bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa mencukupi, masyarakat disaran untuk tampil menderma darah sama ada ketika berlangsungnya program derma darah atau hadir terus ke Tabung Darah Hospital Tuanku Fauziah.

ROSLINA BINTI DIN