fb fb fb fb fb

Hormati proses dan undang-undang, elak retorik - Sultan Pahang

FOTO FACEBOOK Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan

KUANTAN, 27 Februari- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar semua pihak menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan atau retorik berhubung titah adendum atau dokumen tambahan.

Baginda menegaskan perkara itu berada dalam bidang kuasa pihak bertanggungjawab dan berintegriti.

"Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik. Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati, dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara," titah baginda.

Sebelum ini, pada Januari lalu, Majlis Kesultanan Pahang mengesahkan kewujudan titah adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara dalam tahanan rumah.

Surat bertarikh 4 Januari 2025 yang dihantar kepada anak sulung Datuk Seri Najib, Datuk Mohamad Nizar itu ditandatangani Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Titah adendum itu dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Dalam perkembangan lain, Sultan Pahang turut bertitah kedaulatan raja dalam sistem pemerintahan Melayu bukan sekadar simbol tetapi menjadi teras kepada keadilan, kestabilan, dan kesejahteraan rakyat.

"Kesultanan Pahang sendiri mempunyai sejarah yang panjang dalam mempertahankan kedaulatan dan maruah negeri. Dari zaman kesultanan yang pertama hingga ke hari ini, malah saya adalah Sultan yang ke-34. Sejak tahun 1470 lagi, Pahang telah mempunyai sultan," titah baginda.

Baginda menyeru agar semua pihak terus menghormati warisan dan sejarah yang menjadi asas kepada jati diri rakyat, serta menegaskan bahawa institusi raja dipandang tinggi dan dihormati sebagai payung negara yang bertanggungjawab ke atas kebajikan rakyat.

Titah baginda lagi, sejarah telah membuktikan Kesultanan Melayu merupakan tunjang kestabilan dan kemakmuran tanah air.

Baginda bertitah, sejak zaman Kesultanan Melaka hingga kini, hubungan erat antara raja dan rakyat terus berpaksikan agama, adat, serta nilai luhur bangsa.

Al-Sultan bertitah pada Majlis Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini. Majlis bermula pada pukul 7.00 malam dengan solat maghrib, diikuti solat hajat, bacaan surah Yasin, doa selamat dan solat isyak.

SITI AISHAH MD ISA