fb fb fb fb fb

"Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan" - Sultan Selangor

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Februari- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang batalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Tambah baginda, untuk menangani isu berbangkit, fokus perlu tertumpu kepada usaha mencari jalan penyelesaian.

Kaedah perluasan kompetensi Badan Perundangan Negeri perlu dikaji, untuk menggubal undang-undang jenayah syariah berlandaskan kerangka ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha-usaha ini termasuk keperluan untuk cadang pindaan kepada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan berkaitan."

"Tujuannya adalah memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk gubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan," titah baginda selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sempena Mesyuarat MKI ke-71, di sini.

Sementara itu, persoalan berbangkit berhubung kes berkenaan sedang diteliti Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam, yang ditubuhkan Ogos tahun lepas.

Semua pihak diminta bertenang dan tidak timbulkan kekecohan, sementara menantikan cadangan jawatankuasa berkenaan.

Antara fokus kajian ialah berkaitan kompetensi adalah termasuk analisis peruntukan undang-undang sedia ada dan keputusan-keputusan Mahkamah Tinggi.

Jawatankuasa diberi masa hingga Ogos 2024 untuk mengemukakan cadangan kepada MKI dan ia kemudian akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenan.

Sultan Sharafuddin menyeru semua pihak termasuk pakar perundangan untuk bantu jawatankuasa berkenaan dengan memberi syor berilmiah.

"Elak berbalah dan saling menuduh secara terbuka, sebaliknya boleh diselesaikan menerusi musyawarah dan tertutup," tambah baginda.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM