fb fb fb fb fb

HFMD di Perak meningkat 10 kali ganda

IPOH, 13 Mei - Sebanyak 1,636 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Perak sehingga 30 April lalu.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Mohd Akmal Kamarudin berkata, jumlah itu meningkat lebih 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya 140 kes.

"Kes HFMD tinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 1,557 kes (95.1%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 70 kes (4.3%) dan selebihnya berlaku pada umur lebih 12 tahun.

"Wabak HFMD akan dilaporkan apabila terdapat dua atau lebih kes dikesan dalam premis yang sama dalam tempoh 10 hari iaitu dua tempoh inkubasi jangkitan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

(Sebanyak 1,636 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di Perak)

Dalam tempoh tersebut juga, 100 wabak dikesan dengan tiga daerah mencatatkan angka tertinggi iaitu Kinta (28 wabak); Larut, Matang dan Selama (18 wabak) serta Hulu Perak (8 wabak).

"Majoriti lokasi penularan di tadika/taska/prasekolah, rumah persendirian,
pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah rendah.

"Orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko jangkitan," kata Mohd Akmal.

Pada masa sama, tidak membawa anak-anak yang bergejala HFMD ke tempat awam.

Media Baharu