fb fb fb fb fb

HKHM 2025: Kibaran Jalur Gemilang simbol kebanggaan

Julina Johan

PUTRAJAYA, 19 Ogos – Ketua Pengarah Jabatan Penerangan  (JAPEN), Julina Johan menyeru semua rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga dan penuh tanggungjawab menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Beliau menegaskan, pemasangan Jalur Gemilang dengan betul adalah tanggungjawab bersama.

"Sebarang kesilapan pemasangan boleh ditegur secara berhemah kerana kibaran Jalur Gemilang yang betul adalah tanggungjawab kita bersama," katanya ketika sesi taklimat media bersempena sambutan HKHM 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris

Pelbagai pengisian menarik telah disusun, termasuk Riuh Merdeka iaitu persembahan selama 30 jam, bermula 12 tengah hari, 30 Ogos di Monumen Alaf Baru.

Program itu menampilkan pelbagai aktiviti yang meraikan perpaduan, kebudayaan dan kreativiti Malaysia melalui seni dan muzik.

Sambutan utama di Dataran Putrajaya turut menekankan keselesaan pengunjung, antaranya slot tempat duduk bertingkat diperluas daripada 4,000 ke 8,000, disokong dengan 15,000 lot parkir, 100 bas, enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya selain pengangkutan awam percuma pada 31 Ogos.

Turut disediakan 60 trak makanan, 18 khemah perubatan, lima surau, 200 tandas bergerak dan 12 skrin LED untuk tontonan lebih selesa.

Program utama merangkumi perbarisan kontinjen dengan penyertaan sebanyak 14,010 peserta, melibatkan 78 aset kenderaan, tujuh kereta berhias, 116 aset haiwan hidup dan 21 kumpulan pancaragam.

Dari segi keselamatan, penutupan jalan di lokasi tertentu akan diumumkan dan diselaraskan oleh pihak polis, manakala orang awam dipelawa hadir menyaksikan latihan raptai penuh pada 29 Ogos.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan Hari Kebangsaan 2025 dijangka memperkukuh semangat kebersamaan dan kecintaan rakyat terhadap tanah air.

EZA YUSMAWATI YAACOP