BAITULMAQDIS, 25 November- Kira-kira 250 serangan udara dilancarkan Hizbullah ke wilayah Israel.
Kumpulan yang disokong Iran itu dalam satu kenyataan memaklumkan serangan menyasarkan pejabat perisikan tentera zionis di Gligot, pinggir Tel Aviv serta pangkalan tentera laut Ashdod di selatan.
Serangan itu menyaksikan Hizbullah buat pertama kalinya menggunakan dron berangkai, di samping peluru berpandu canggih dalam serangan rentas sempadan.
"Hizbullah buat pertama kalinya melancarkan serangan udara menggunakan dron berangkai di pangkalan tentera laut Ashdod di selatan Israel.
"Satu siri serangan peluru berpandu canggih dan dron berangkai turut dilancarkan ke arah sasaran tentera di Tel Aviv, dan pangkalan perisikan tentera Glilot di pinggir bandar itu," katanya.
Hizbullah sebelum ini mengesahkan telah melancarkan serangan terhadap pangkalan Glilot.
Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung serangan berkenaan ketika dihubungi AFP.
Namun, mengesahkan siren serangan udara telah dibunyikan di beberapa lokasi di pusat dan utara Israel, termasuk di pinggir bandar Tel Aviv.
Agensi perubatan melaporkan sekurang-kurangnya 11 orang cedera dalam serangan udara itu termasuk seorang lelaki yang cedera parah.
Sejak 23 September, Israel telah memperhebatkan kempen udara di Lubnan, dan kemudiannya menghantar tentera darat untuk menyerang Hizbullah di selatan Lubnan.-AFP