fb fb fb fb fb

Hina agama: 'Jangan diulang perbuatan sama' - Pemangku Sultan Johor

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, hari ini

JOHOR BAHRU, 9 Mei- Semua pihak diminta tidak mengambil mudah isu sensitiviti agama demi keharmonian negeri Johor, titah Tunku Mahkota Ismail.

Pemangku Sultan Johor itu bertitah, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan bagi membendung perkara yang mengganggu keharmonian dalam kalangan masyarakat daripada berulang pada masa hadapan.

"Ini adalah peringatan pertama dan saya harap yang terakhir. Jangan diulang perbuatan sama yang hanya akan meruntuhkan keharmonian bermasyarakat di Johor," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut memberi amaran supaya ahli politik di negeri itu tidak menggunakan agama sebagai alat politik mereka.

"Saya tidak mahu ada seorang pun ahli politik di Johor yang sewenang-wenangnya menyebabkan sentimen perpecahan rakyat.

"Politik harus menjadi alat untuk menyatukan semua pihak bukan memecah-belahkan bangsa Johor. Jangan sesekali gunakan agama sebagai alat politik," titah baginda.

Dalam perkembangan berlainan, baginda menitahkan agar Kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif dalam usaha meningkatkan kualiti sistem dan kualiti pendidikan negara.

Titahnya perubahan penting perlu dilaksanakan dengan memperbaharui silibus mata pelajaran yang dilihat sudah tidak lagi relevan pada masa kini.

Tegas baginda, sekiranya perubahan tidak dapat dilakukan di peringkat nasional, Johor bersedia menjadi negeri pertama untuk mengubah silibus pelajaran terbabit.

"Saya sering menekankan pendidikan berkualiti kepada Bangsa Johor, pendidikan berkualiti adalah asas kemajuan negeri ini dan penting bagi menyelesaikan pelbagai isu.

"Pendidikan berkualiti juga akan buka banyak peluang pekerjaan bagi generasi akan datang.

"Saya berharap Kerajaan Persekutuan mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kualiti sistem dan kualiti pendidikan. Satu perubahan penting yang perlu dilaksanakan dengan memperbaharui silibus mata pelajaran yang sudah tidak relevan lagi.

"Jika tidak dapat dilaksanakan di peringkat nasional, biarlah Johor jadi negeri yang pertama untuk mengubah silibus di sekolah di Johor," titahnya.

Titah Tunku Ismail, Kerajaan Persekutuan perlu menerima hakikat laporan Bank Dunia berhubung kedudukan terkini pelajar negara ini yang masih  jauh ketinggalan walaupun perbelanjaan besar diperuntukkan kepada sektor pendidikan negara.

SITI AISHAH MD ISA