
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ratusan peserta berkumpul secara aman berhampiran pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) malam tadi, bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Iran serta mendesak agar konflik di Asia Barat dihentikan segera.
- Himpunan aman sebagai solidariti kemanusiaan menuntut penghentian konflik dan perlindungan nyawa orang awam.
- Gerakan bukan partisan, berlandaskan prinsip menolak kezaliman dan pelanggaran hak asasi manusia.
- Peserta dari NGO, parti politik dan individu bersatu menyuarakan keamanan melalui saluran aman dan undang-undang.
Program anjuran Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) yang bermula kira-kira pukul 9.00 malam itu dimulakan dengan solat hajat dan doa sebagai simbolik gesaan agar pertumpahan darah dihentikan serta keselamatan orang awam terus dipelihara.
Penganjur menegaskan gerakan itu tidak bersifat kepartian, sebaliknya berlandaskan prinsip kemanusiaan sejagat yang menolak sebarang bentuk kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia.
Solidariti yang dizahirkan menurut mereka, tidak terhad kepada Iran semata-mata, malah merangkumi semua negara dan masyarakat yang berdepan pencerobohan serta penindasan.
Program tersebut turut menghimpunkan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu daripada pelbagai latar belakang yang sepakat membawa mesej keamanan serta menolak peperangan.
Sepanjang acara berlangsung, peserta melaungkan mesej keamanan dan keadilan serta menyatakan komitmen untuk terus menyuarakan pendirian melalui saluran aman dan berlandaskan undang-undang.
Keadaan di lokasi dilaporkan terkawal dengan pemantauan pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan acara berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.