IPOH, 13 November- Polis menasihati orang ramai agar tidak menyertai Himpunan Patriotik Rakyat yang akan berlangsung di Dataran Menara Condong Teluk Intan, Sabtu ini.
Larangan tersebut susulan perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pemilik tanah iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) atas faktor ketidaksesuaian tempat perhimpunan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata pihak penganjur gagal mengemukakan persetujuan pemilik tempat perhimpunan seperti ditetapkan bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pihak polis telah menerima permohonan daripada penganjur untuk mengadakan program mengibarkan Jalur Gemilang di Menara Condong, Teluk Intan pada 16 November, pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam.
Polis telah menampal satu notis pemberitahuan berhubung program berkenaan di Menara Condong bagi mendapatkan maklum balas orang ramai.
Maklum balas daripada MPTI iaitu tidak membenarkan penganjuran program atas faktor ketidaksesuaian tempat perhimpunan,” katanya menerusi kenyataan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan tegas akan diambil bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.